Monday, October 5, 2009

ekstrovert, introvert & ambivert




Menurut Carl Jung 1875-1961, personaliti seseorang individu dapat dikategorikan kepada tiga iaitu ekstrovert, introvert dan ambivert.




Ekstrovert merupakan seorang individu yang lebih suka kepada dunia luar berbanding dunia dalam. Individu yang mempunyai sifat ini biasanya terdiri daripada golongan yang agresif atau aktif di mana mereka suka bersosialisasi dan sering melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sosial. Mereka menyokong kepada perubahan dan bersifat optimis. Namun mereka ini tidak boleh diharapkan kerana mereka tidak suka terikat kepada sesuatu keadaan atau peraturan.

Berbeza dengan introvert pula, individu yang mempunyai personaliti ini adalah orang yang bersifat pasif, emosional, pendiam dan kurang sosialisasi. Mereka lebih suka melakukan dan menyiapkan kerja secara individu tanpa mengharapkan bantuan daripada orang lain. Mereka mempunyai sifat yang serius, pemalu, tidak mempunyai cita-cita yang tinggi dan kurang mengambil inisiatif. Mereka juga kurang selesa terhadap perubahan tetapi suka kepada sistem hidup yang teratur atau sistematik. Oleh yang demikian, mereka ini biasanya selalu mengikut peraturan yang ditetapkan dan mempunyai disiplin yang tinggi.

Jika dikaji dengan sebaik-baiknya, sebenarnya tiada individu yang terdiri daripada salah satu sifat-sifat di atas tetapi setiap individu itu mempunyai kedua-dua ciri-ciri personaliti ini. Setiap individu dikatakan mempunyai kedua-dua ciri-ciri ini kerana mereka akan menunjukkan tingkah laku berdasarkan keadaan atau situasi pada satu masa tertentu. Apa yang membezakan ialah kadang-kadang individu dipengaruhi secara dominan daripada salah satu sifat di atas.

Gabungan di antara kedua-dua ciri-ciri ini dinamakan ambivert di mana ia merupakan seoang yang aktif tetapi sensitif, suka berkawan tetapi memilih bekerja berseorangan, bertutur lancar tetapi berfikir sebelum bercakap atau memberi pendapat.

Guru berperanan penting dalam membentuk ciri-ciri personaliti yang positif terhadap murid-muridnya. Berdasarkan beberapa buah kelas yang diajar oleh guru, sudah tentu terdapat murid yang mempunyai ciri-ciri introvert. Bagi menangani masalah murid-murid yang mempunyai sifat introvert seperti pemalu, pendiam dan suka mengasingkan diri, guru hendaklah memastikan keterlibatan murid yang optima di dalam kelas. Misalnya, bukan sahaja memastikan murid itu menjalankan kerja sekolah yang diberi malahan murid itu turut menjalankan tugasan yang tidak formal seperti membersihkan bilik darjah. Ini akan menggalakkan murid itu dapat bekerjasama dengan rakan yang lain semasa menjalankan tugas.

Selain itu, guru turut memberi peluang kepada murid itu untuk mengedarkan kertas soalan atau buku latihan. Guru juga melantik golongan murid yang bersifat introvert ini memegang jawatan penting di dalam kelas seperti ketua kumpulan, ketua kelas atau pengawas. Keadaan ini akan mendedahkan mereka kepada proses sosialisasi dengan orang lain dapat membantu atau menggalakkan murid itu berhadapan dengan rakan-rakannya yang lain.

Guru juga haruslah memperbanyakkan aktiviti secara berkumpulan supaya murid ini akan terdedah dengan tugasan yang dihasilkan secara bekerjasama, koperatif dan galakkan interaksi dengan rakan kumpulan lain. Secara tidak langsung, rakan-rakan yang lain juga dapat membantunya supaya lebih yakin ketika bercakap. Guru juga boleh bertindak sebagai “moivator” atau pendorong kepada murid seperti ini. Guru-guru perlu memberi keyakinan kepada murid supaya berani mencuba sesuatu dan mempunyai tahap keyakinan yang tinggi untuk berkomunikasi dengan orang lain. Usaha ini boleh dilakukan dengan memberi bimbingan kaunseling supaya mereka mudah untuk didekati dan boleh menerima perubahan secara perlahan-lahan. Selain itu, guru juga boleh melibatkan murid seperti ini dengan aktiviti luar iaitu sukan atau kokurikulum seperti persatuan, permainan dan kelab di sekolah.

Bagi murid yang lebih dominan bersifat ekstrovert, guru boleh haruslah pandai mengeksplotasikan kebolehan dan keupayaan murid ini dengan sebaik yang mungkin. Berdasarkan pemerhatian guru, murid ini terdiri daripada golongan yang aktif dan cergas sama ada dari segi akademik atau aktiviti luar. Walau bagaimanapun, golongan inilah juga yang kerap melanggar peraturan sekolah dan mempunyai masalah disiplin. Oleh yang demikian, bagi menangani sikap murid seperti ini, guru perlu bersabar dan tidak mengambil tindakan ke arah memberi hukuman. Memandangkan mereka ini agresif dan bersifat berani, mereka hanya mementingkan kepuasan terhadap apa yang mereka lakukan dan tidak takut untuk mengahadapi pelbagai hukuman. Oleh itu, pendekatan untuk memberi hukuman atau denda adalah kurang sesuai.

Guru menggunakan pendekatan kaunseling untuk membentuk personaliti yang lebih baik dan berdisiplin. Guru boleh bertindak sebagai kawan atau lebih dekat lagi sebagai ahli keluarga iaitu kakak, abang, emak atau ayah. Golongan ekstrovert ini suka bergaul dan berkongsi dengan orang lain. Oleh yang demikian, hubungan yang dijalinkan dengan murid ini bukan setakat sebagai guru dan murid, tetapi bertindak menjadi orang yang terdekat dalam hidup murid. Keadaan ini akan mewujudkan keadaan yang lebih selesa untuk berkongsi masalah dengan murid tersebut. Murid ini juga akan lebih mudah untuk meluahkan permasalahan. Selain itu, murid lebih senang menerima teguran atau nasihat daripada orang yang mereka anggap lebih rapat dalam hidup mereka. Hubungan yang rapat di antara murid dan guru akan memberi kesan yang positif terhadap pembentukan personaliti yang positif.

Secara keseluruhannya, walaupun ciri-ciri personaliti ini dipengaruhi kuat oleh dua faktor iaitu baka dan persekitaran, ia bukanlah ukuran yang statik terhadap sikap seorang murid. Guru memainkan peranan penting dalam mempengaruhi ke arah pembentukan sikap dan ciri-ciri yang positif.

No comments:

Post a Comment