Dalam era ledakan teknologi
masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja berfokus kepada
penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis dan
papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi
yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar. Oleh
yang demikian, melalui teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada
guru sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan
tanpa melalui bahan bantu belajar dan mengajar.
Bahan bantu belajar dan mengajar yang dihasilkan
berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktik dalam pengajaran dan
pembelajaran guru. Oleh itu, bidang teknologi juga memainkan peranan penting
sebagai tapak asas yang kukuh dalam bidang pendidikan masa kini. Perkembangan teknologi
ke arah penciptaan peralatan pengajaran memberi kesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan
dan kemahiran yang dilakukan oleh guru dan juga bagi mempercepatkan proses pembelajaran
berkesan di kalangan pelajar
Atan Long (1981) menyatakan penggunaan alat bantu
mengajar yang sesuai akan memudahkan sesuatu konsep dikaitkan dengan pengalaman
pelajar. Sebagai contoh , pembelajaran di luar kelas, penggunaan simulasi yang
digabungkan dengan rakaman muzik daripada pita rakaman dalam permainan, mungkin
akan menjadi media yang sesuai bagi pelajar yang lemah berbanding kaedah
tradisional.
Naim (1998) menyatakan manusia
dilahirkan dengan kebolehan , keperluan , minat dan lingkungan pengalaman yang
berbeza. Oleh itu setiap murid mempelajari sesuatu contoh , penerimaan konsep ’
indah ’ adalah sangat relatif sifatnya. Bila guru hanya menyebut sahaja
perkataan ’ indah ’ , idea sebenar dalam pemikiran guru mungkin tidak dapat
diinterpretasikan dengan baik oleh semua muridnya (kerana pengalaman hidup yang
berbeza). Di sinilah media seperti gambar dan filem dapat memainkan peranan
penting bagi membantu mempertajamkan , memperjelas dan mengukuhkan lagi
pemahaman akan makna dan konsep ’ indah ’ tadi.
Guru telah
didedahkan pelbagai kaedah mengajar yang memusatkan pelajar, sumber-sumber
pengajaran pembelajaran dan juga bagaimana menggunakan bahan bantu mengajar dengan
berkesan. Seseorang guru juga harus mahir mengenal pasti, membuat keputusan
untuk memilih bahan bantu mengajar yang paling berkesan dan mengoptimumkan sumber
untuk mencapai objektif pengajaran yang dirancang.