Tuesday, September 11, 2012

RASIONAL BBBM


Dalam era ledakan teknologi masa kini, proses pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja berfokus kepada penggunaan buku teks, kaedah pengajaran guru melalui penggunaan kapur tulis dan papan hitam sahaja, malah lebih daripada itu termasuklah penggunaan teknologi yang menyediakan pembelajaran secara interaktif bagi memupuk minat pelajar. Oleh yang demikian, melalui teknik dan kaedah pengajaran dan pembelajaran daripada guru sahaja belum dapat menjamin berlakunya proses pembelajaran yang berkesan tanpa melalui bahan bantu belajar dan mengajar.
            Bahan bantu belajar dan mengajar yang dihasilkan berasaskan teknologi moden dapat digunakan secara praktik dalam pengajaran dan pembelajaran guru. Oleh itu, bidang teknologi juga memainkan peranan penting sebagai tapak asas yang kukuh dalam bidang pendidikan masa kini. Perkembangan teknologi ke arah penciptaan peralatan pengajaran memberi kesan dalam menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang dilakukan oleh guru dan juga bagi mempercepatkan proses pembelajaran berkesan di kalangan pelajar
            Atan Long (1981) menyatakan penggunaan alat bantu mengajar yang sesuai akan memudahkan sesuatu konsep dikaitkan dengan pengalaman pelajar. Sebagai contoh , pembelajaran di luar kelas, penggunaan simulasi yang digabungkan dengan rakaman muzik daripada pita rakaman dalam permainan, mungkin akan menjadi media yang sesuai bagi pelajar yang lemah berbanding kaedah tradisional.
            Naim (1998) menyatakan manusia dilahirkan dengan kebolehan , keperluan , minat dan lingkungan pengalaman yang berbeza. Oleh itu setiap murid mempelajari sesuatu contoh , penerimaan konsep ’ indah ’ adalah sangat relatif sifatnya. Bila guru hanya menyebut sahaja perkataan ’ indah ’ , idea sebenar dalam pemikiran guru mungkin tidak dapat diinterpretasikan dengan baik oleh semua muridnya (kerana pengalaman hidup yang berbeza). Di sinilah media seperti gambar dan filem dapat memainkan peranan penting bagi membantu mempertajamkan , memperjelas dan mengukuhkan lagi pemahaman akan makna dan konsep ’ indah ’ tadi.
Guru telah didedahkan pelbagai kaedah mengajar yang memusatkan pelajar, sumber-sumber pengajaran pembelajaran dan juga bagaimana menggunakan bahan bantu mengajar dengan berkesan. Seseorang guru juga harus mahir mengenal pasti, membuat keputusan untuk memilih bahan bantu mengajar yang paling berkesan dan mengoptimumkan sumber untuk mencapai objektif pengajaran yang dirancang.

No comments:

Post a Comment